Main polong

Ini antara permainan-permainan malam raya aku masa kecil-kecil dahulu;

a) Nyorok-nyorok
Menyorok dalam kebun getah sempena menyambut hari terakhir syaitan kena ikat. Karang kalau nyorok malam lain ada pulak yang jadi anak susuan hantu kopek ehe.

b) Meriam buluh
Ambil buluh. Balut kemas-kemas dengan kain guni. Buat lubang cucuh. Masukkan karbait + air, cucuh api… Kaboom!

c) Meriam tin susu
Ambil tin susu banyak-banyak. Buang tutup atas dan bawah. Susun macam ruas buluh. Balut juga kemas-kemas dengan kain guni. Buat lubang cucuh. Masukkan karbait + air, cucuh api… Kaboom!

d) Meriam tanah
Korek tanah ala-ala terowong projek SMART. Buat lubang cucuh atas terowong. Masukkan karbait + air, cucuh api… Kaboom!

e) Congkak tanah
Korek lubang congkak atas tanah. Biji getah jadi biji congkak. Abis main kena rotan sebab kuku hitam dah macam kuku pontianak.

f) Bunga api dan mercun piawai tanpa ubah suai
Bunga api cap kucing. Bakar dan baling atas pokok. Nasib tak baik, bunga api sudah melencong masuk kebun lalang Pak Taib. Ehe, terbakar satu kebun. Akibatnya? Pak Taib jimat racun, cuma tinggal tanam rambutan je ehe.

Malam raya baru ni di Pulau Indah aku dapat permainan baru. Permainan yang teramat sesuai untuk aku yang dah nak jadi mak orang. Permainan yang sungguh sopan walaupun namanya ala-ala Seekers kat NTV7 tu.

Main polong!
Takut? jangan takut. Tiada dukun yang terlibat apatah lagi polong. Hanya surat khabar lama. Tidak perlu karbait, tidak perlu belerang hanya “skiiiil” sahaja yang diperlukan ehe.

Rentangkan surat khabar atas tanah. Temukan setiap penjuru ke tengah-tengah surat khabar (macam buat payung terjun guna sapu tangan tu!). Pulas-pulas sikit biar bercantum. Ejas-ejas[1] mana patut supaya kertas surat khabar tadi menggelembung. Seterusnya, bakar setiap penjuru. Buat dengan pantas.

Jika polong anda mengikut kata dan tidak pecah, maka akan naiklah ia ke atas macam belon panas. Kalau polong anda derhaka maka meloponglah anda melihat polong terguling-guling di atas tanah.

Best woo permainan ni, Belitong pun tahu main[2].

Nota Kaki
[1] Bahasa pasar untuk perkataan adjust.
[2] Rujuk majalah Apo edisi 164 (1 Nov. 2005) muka surat 132.

Advertisements

Kali pertama, raya pertama

Kali pertama beraya berdua. Giliran bermula di Klang. Janggal? tak juga sebab sama keturunan ehe. Tak lah juga sama. Dia campuran Jawa, Minangkabau dan Bugis. Tapi nampaknya Jawa yang dominan sebab dekat dengan kampung mak di Pulau Indah. Menu raya memang menu Jawa. Ketupat daun kelapa, rendang, dan lain-lain lagi + aku buat lepet[1].

Raya pertama cerita sedih. Tak boleh bangun. Kepala pusing ada, nak pitam pun ada. Tak dapat nak gosokkan baju dia, tak dapat nak pakaikan butang baju dia dan tak dapat nak pakaikan sampin dia. Tak dapat juga nak solat sunat Aidiladha (maju ke hadapan betul aku ni, Aidilfitri sebenarnya… terima kasih Linda!).

Petang tu dah sihat sikit, satu keluarga melawat atok di hospital. Meriah sebab semua anak-anak, menantu-menantu, dan cucu-cucu atok ada sama. Tapi atok pun macam aku juga. Tak boleh bangun sebab rasa nak pitam. Sampai la ni x tahu sebenarnya apa penyakit atok…

Atok cepat sihat ye, bukan kami saja yang risau. Hari tu jengah kambing-kambing atok. Banyak yang sakit. Ada yang selsema, ada yang batuk-batuk, dan ada yang cirit-birit. Kambing-kambing tu pun rindukan atok juga.

Nota kaki
[1] Beras pulut yang telah direndam semalaman, digaul dengan kelapa parut dan sedikit garam. Bungkus dengan daun kelapa (janur) dan ikat dengan tali yang diperbuat dari lidi kelapa lebihan anyaman ketupat. Menu wajib embah buyut setiap kali raya…

… dalam perut ada rama-rama.