Salam Aidilfitri

Kalau tak Jumaat, kemungkinan besar hari Sabtu ni dah Aidilfitri. Kalau Jumaat lah raya jawapnya kami beraya di atas lebuhraya. Apa-apa pun, raya tak mungkin jatuh pada hari Ahad ehehe.

Dengan Ramadhan yang tinggal 3 hari lagi ni, jika diizinkan Allah, puasa tahun ni penuh sebulan. Alhamdulillah, 3 tahun berturut-turut puasa penuh.

Tahun ni tahun pertama Na`im dah pandai makan kuih raya. Cuma dia ada masalah sikit dengan baju rayanya. Dia tak suka pakai baju melayu! Menjerit-jerit dia minta dibuka masa dicuba hari tu.

Mak tak kira Na`im. Baju hang jer nak sama harga dengan baju Dada[1] hang tu. Kalau hang tak mau pakai jugak, hang beraya dengan lampin pakai buang tu jer lah!.

Persiapan tahun ni gitu-gitu jer. Mood tak berapa ada. Mungkin disebabkan perut yang membuyung, jadi nak buat apa-apa pun lemau semacam. Langsir masih guna yang 2 tahun lepas punya. Tak larat nak jahit sebab dok menjahit barut dan bedung untuk adik si Na`im. Tu pun tak siap-siap sebab abang dia kerjanya cabut benang dari mesin.

Kuih raya pun gitu-gitu jugak. Tahun ni memang tak berangan nak buat sendiri sebab mentega yang dibeli untuk buat biskut raya tahun lepas masih ada dalam peti sejuk lagi. Dah melepasi tarikh lupus pun tapi saja simpan buat tukun ehehe. Mana tau nanti dia beranak-anak kat dalam peti tu ehehe.

Baju raya lagi malas nak fikir. Dengan perut membonyot ni, hanya baju mengandung sahaja yang layak dipakai. Tapi tak kira nak baju kurung juga. Beli jugalah 1, saiz L. Harap-harap muat lah. Dah bulan ujung-ujung ni perut cepat membesarnya. Emm… cuma kesian kat Dada belum ada baju. Esok, lusa sempat kot cari…

Emm… akhir kata,

Selamat menyambut Aidilfitri buat semua! Maaf zahir & batin atas salah silap yang ada!

Notakaki

[1] Panggilan Na`im untuk abah dia. Penat ajar "abah" tapi Dada jugak yang keluar. Terpengaruh dengan Kak Lilian dalam Sitcom Puteri ler tu. Mak pun dia tak reti nak nyebut. Dok "mama, mama" ehehe. Geli-geleman telinga aku dengar.

Mencari Lailatul qadar

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

LAILATUL qadar merupakan salah satu dari malam-malam Ramadan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah s.w.t: Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada malam lailatul qadar.

Tahukah kamu apakah malam lailatul qadar itu? Malam al-Qadar adalah lebih baik dari seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam tersebut dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami dari ayat tersebut ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi 1,000 bulan.

Kebesaran lailatul qadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam tersebut diturunkan al-Quran dan keduanya pada malam tersebut akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai lailatul qadar kerana pada malam tersebut akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama lailatul syaraf bermaksud malam kemuliaan dan lailatul tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya lailatul qadar seringkali berlaku perselisihan pendapat di kalangan para ulama. Tetapi pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam-malam ganjil sesudah hari yang kedua puluh Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah dari Ibnu Umar yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin mencari lailatul qadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh”.

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim adalah bermaksud: Carilah dengan segala upaya kamu malam Al-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam akhir bulan Ramadan.

Jelas dari kedua hadis tersebut bahawa lailatul qadar itu hanya berlaku pada satu malam saja dari bulan Ramadan. Ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipat gandakan amal ibadat pada malam-malam akhir Ramadan al mubarak ini.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh lailatul qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam tersebut.

Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:

  • Allah menyembunyikan lailatul qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang bulan Ramadan.
  • Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada hari Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari tersebut.
  • Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu.
  • Allah menyembunyikan isim adzam di antara nama-nama-Nya agar kita menyebut kesemua nama-nama-Nya (Asmaul Husna)
  • Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa jua bentuk maksiat.
  • Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali di antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin.
  • Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.
  • Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya.

Walau bagaimana pun berkaitan dengan lailatul qadar, para ulama bersepakat mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda apabila berlakunya malam tersebut, di antaranya ialah:

  • Orang yang berkesempatan melihat malam al Qadar akan dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan di langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walau pun berada dalam kegelapan.
  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan dapat mendengar salam para malaikat dan tutur kata mereka.
  • Orang yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa di antara tanda malam al Qadar telah berlaku ialah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk yang putih bersih bagai bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas, di mana tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahaya.

Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t biarpun tanda-tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang bulan Ramadan, Insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik dari 1,000 bulan itu.

# WAN MARZUKI WAN RAMLI ialah guru agama Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelantan.

Sumber: Utusan Online | 21 Ramadhan 1428 | 3hb Oktober 2007